MACHANG: Pokok Eucalyptus menjadi tamanan bagi membantu ‘menghijaukan’ semula kawasan hutan di negeri ini yang ditebang untuk tujuan pembalakan sebagaimana telah dibenarkan oleh pihak berwajib.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerja-kerja tersebut merupakan salah satu usaha pemuliharaan hutan dalam konteks amalan bumi hijau.
“Kerajaan negeri mula menanam pokok berkenaan yang berasal dari Nanning, China di kawasan seluas 30 hektar di Hutan Simpan Kuala Betis, Gua Musang.
“Pokok jenis ini berfungsi melengkapkan keperluan kawasan tadahan hujan dan mempunyai tempoh matang tujuh tahun berbanding balak yang mengambil masa sehingga 25 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke 52 Peringkat Kelantan di Taman Eko Rimba Jeram Linang, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, pihaknya sentiasa menyokong penuh cadangan Jabatan Perhutanan negeri untuk membangunkan Program Terapi Perhutanan dalam konteks pengekalan hutan simpan yang bermanfaat bagi aktiviti rekreasi dan kesihatan rakyat.
Katanya, program yang berteraskan penyelidikan untuk mengekal, memulihkan kesihatan fizikal dan mental manusia telah dilaksanakan pihak berkaitan berfokuskan fungsi alam flora dan fauna serta diyakini mampu memberi impak positif kepada kawasan hutan di negeri ini.
“Kita terus komited terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang sehingga kini mengekalkan jumlah kawasan hutan simpan kekal seluas 629,880 hektar iaitu sebanyak 42 peratus dari keluasan tanah negeri ini.
“Pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar perlu diseimbangkan demi kesejahteraan sejagat, sekali pun berhadapan dengan keperluan pembangunan dalam menempuh arus kemajuan dan tekanan ekonomi semasa,” ujarnya.
Mohd. Amar berkata, pihaknya mengalu-alukan khidmat nasihat dan bantuan teknikal daripada Kementerian tertentu terutama berkait projek eko-pelancongan dan biodiversiti hutan yang menjurus ke arah kestabilan dan pengekalan alam sekitar.
“Saya yakin sektor perhutanan akan terus memainkan peranan sebagai salah satu penyumbang kepada hasil negeri dari aspek perkayuan mahupun membangunkan lokasi sebagai pusat rekreasi pelancongan yang dikunjungi ramai,” katanya.-UTUSAN