Enam tahun redah selut dan tanah merah, Sanib insafi

Enam tahun redah selut dan tanah merah, Sanib insafi pengorbanan guru

MELALUI jalan berlumpur dan dibantu penduduk untuk ke SK Ladang Mutiara adalah antara pengalaman yang tidak akan dilupakan Sanib (dua dari kiri) ketika bertugas sebagai guru gesar di sekolah itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Enam tahun berjauhan daripada keluarga selain tinggal di kawasan pedalaman yang serba kekurangan kemudahan asas menjadi pengalaman dan kenangan bagi seorang pesara guru yang menamatkan perkhidmatan sebagai pendidik awal Januari tahun ini.

Cerita meredah jalan tanah merah, mengharung banjir selain terpaksa duduk seorang diri di kuarters yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan bukan perkara asing, namun menjadi ‘rutin’ kehidupannya.

Sanib Hashim, 59, yang menyertai profesion perguruan pada 1988 ketika berusia 23 tahun selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagaimanapun terlebih dahulu ditempatkan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kahang, tidak jauh dari kampung halamannya di Kampung Temigol.

Dinaikkan pangkat menjadi menjadi guru besar selepas 28 tahun dan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara, kira-kira 24 kilometer dari kampungnya, benar-benar menguji kecekalan dan kekuatan mental apatah lagi apabila terpaksa meredah jalan tanah merah setiap kali pulang ke rumah atau kembali bertugas serta berjauhan daripada isteri dan empat anaknya.

“Kadang-kadang saya menggunakan kereta, namun, lebih kerap menunggang motosikal terutama sekali jika musim hujan kerana bimbang tersangkut di pertengahan jalan apabila sebahagian laluan dipenuhi lumpur sedalam antara satu hingga dua kaki.

“Keadaan sama berlaku apabila banjir, banyak kali juga terpaksa menumpang kenderaan ladang untuk pergi ke sekolah apabila hujan menyebabkan air naik sehingga tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

“Setiap kali kembali bertugas, saya akan tinggal antara dua hingga tiga minggu di rumah guru yang disediakan kerana perjalanan mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam untuk sampai walaupun jaraknya hanya 24 kilometer,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Sanib, selama tiga tahun bertugas di SK Ladang Mutiara dan tiga tahun di SK Orang Asli Sedohok membuatkannya menginsafi pengorbanan seorang guru yang ditugaskan sebagai pendidik di kawasan yang jauh dari hiruk-pikuk kesibukan bandar dan segala kemudahan.

Selepas 34 tahun berkhidmat sebelum bersara pada 2 Januari lalu, pengalaman dan kenangan itu menjadikan dirinya lebih memahami perasaan setiap keluarga sekiranya tinggal berjauhan dalam tempoh yang agak lama.

“Memang terasa nikmatnya apabila setiap hari dapat menghirup kopi dan sedikit sarapan bersama isteri dan anak-anak berbanding melaluinya seorang diri serta jauh daripada keluarga.

“Selepas bersara ini, saya amat merasai betapa besarnya pengorbanan guru-guru yang bertugas jauh di pedalaman serta berjauhan daripada keluarga kerana nikmatnya kehidupan bersama berlalu pergi tanpa kita sedari dan semua itu dilakukan atas dasar ingin membina masa depan anak bangsa dan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya