GUA MUSANG: Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) akan memastikan isu keterjaminan makanan tidak terjejas di kawasan luar bandar kesan daripada fenomena El Nino yang diramal berlaku pada bulan depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, KKDW mengakui cuaca panas memberi kesan terhadap semua sektor termasuk pertanian dan perladangan.
Menurutnya, bagaimanapun Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sudah mengambil langkah dengan menggalakkan isi rumah untuk melibatkan diri dengan tanaman sara diri bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak terjejas dengan kesan ini.
“Sebagai langkah segera Kesedar menggalakkan aktiviti pertumbuhan ekonomi (AET) dalam kalangan suri rumah dengan bantuan sehingga RM5, 000 bagi setiap isi rumah.
“Sehingga kini seramai 50 isi rumah terlibat mengusahakan tanaman sara diri seperti mentimun, cili dan sawi di keluasan tanah sebanyak lebih 17 hektar,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kesedar di Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang, di sini, hari ini.
Dalam program sama, Rubiah turut menyampaikan sumbangan raya kepada 80 asnaf membabitkan kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) dan sekitar daerah ini.
Rubiah memberitahu, Kesedar juga mengambil langkah mengusahakan beberapa tanaman untuk jangka masa panjang dengan menjalankan kajian terhadap jenis tanaman yang bersesuaian dengan keadaan cuaca semasa.
Katanya, bagi jangka masa panjang pula, Kesedar telah menyediakan 900 hektar tanah di RKT Paloh 4 di sini bagi menyokong keterjaminan makanan dan kajian kesesuaian tanaman sedang dilaksanakan serta usaha penanaman dijangka bermula tahun ini.
“Kesedar telah menyediakan tanah untuk pertanian Agrotek di Kampung Manek Urai Baru, Kuala Krai yang berkeluasan lebih 33 hektar.
“Sehingga kini seluas 16 hektar telah ditanam dengan tanaman kekal dan juga tanaman jangka masa pendek,” ujarnya.-UTUSAN