SEGAMAT: Dua remaja maut apabila motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 3, Jalan Kampung Tengah, di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, dalam kejadian pukul 12.30 malam itu, mangsa, Chua Rui Chong, 17, dan Mohamad Afis Abdullah, 18, maut di tempat kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha LC 135 yang ditunggang Mohamad Afis cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum hilang kawalan memasuki laluan bertentangan.
“Akibatnya berlaku pertembungan dengan motosikal jenis Yamaha Sports ditunggang Rui Chong. Mohamad Afis dalam perjalanan dari arah Pekan Jabi menuju ke Kampung Tengah, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut Ahmad Zamry, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Segamat (HS) untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Segamat menerusi talian 07-9325811 atau balai polis berhampiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN