Dua pengusaha kuih ketakutan diugut rakan niaga

Dua pengusaha kuih ketakutan diugut rakan niaga dari Singapura

EFFA ( kanan ) dan Ibu Ira ( kiri ) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pontian supaya siasatan dilakukan keatas warganegara Singapura yang melakukan penipuan, di Pontian, disini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Dua pengusaha kuih-muih di Pontian dan Johor Bahru berada dalam dilema serta ketakutan kerana menerima ugutan dari rakan niaga mereka dari Singapura berhubung isu tuntutan bayaran yang masih tertunggak.

Rakan niaga mereka dari Singapura yang dikenali sebagai Elly didakwa enggan melunaskan hutang kepada ramai pengusaha kuih di negara ini.

Seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Effa berusia 43 tahun, berkata, laporan polis dibuat pada 3 Mei lalu kerana Elly melakukan ugutan melalui pesanan suara untuk mencederakan dirinya.

Menurut Effa, dia hanya menuntut baki bayaran berjumlah RM12,275.00 yang belum diselesaikan walaupun dia sudah memenuhi tempahan berjumlah RM100,000 daripada Elly pada bulan Ramadan lalu.

“Bukan sahaja nak mencederakan saya, tetapi dia mengugut untuk mengambil gambar muka saya untuk dimasukan ke dalam Facebook dengan tujuan untuk mengaibkan,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambah Effa, dia mula mengenali Elly pada tahun 2022 selepas pendemik Covid-19 dan menerima tawaran untuk membekalkan kuih seperti kuih lapis gulong coklat, tapak kuda dan kuih Ros.

“ Memandangkan ketika itu saya memerlukan kos rawatan bagi penyakit tumor tiroid tahap dua, saya bersetuju untuk membekalkan kuih-muih yang diminta oleh Elly walaupun ada sedikit masalah dari segi bayaran.

“ Pada awal tahun ini, Elly meminta saya untuk terus membekalkan kuih-muih lagi sehingga lima kali tempahan dengan memberikan wang pendahuluan sebanyak RM5,000 bagi setiap tempahan bermula RM11,000,” ujarnya.

Bagaimanapun, Elly melambatkan soal bayaran dengan memberikan alasan kek tidak dapat dijual dan rosak dan meminta diganti kesemua kek yang tidak dapat dijual sebanyak tujuh kali.

Kata Effa, walaupun dia enggan untuk memenuhi permintaan dari Elly lagi disebabkan soal bayaran, Elly berkeras untuknya menerima tempahan berjumlah RM100,000 bagi memenuhi permintaan sempena hari raya Aidilfitri.

“ Ketika itu, pembayaran juga menghadapi masalah dengan Elly memberikan pelbagai alasan sehingga menyebabkan dia ( Elly ) masih berhutang dengan saya sebanyak RM12,275.00 ,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Ibu Ira, dia juga tidak menduga turut menjadi mangsa manipulasi wanita yang sama sejak 2013 sehingga sekarang menyebabkan kerugian hampir RM200,000.

Katanya, antara produk yang dibekalkan kepada Elly seperti kek kukus buah, tapak kuda, kerepek, rempeyek, tart nanas dan sebagainya juga menghadapi kerenah seperti lambat membuat bayaran.

Tambah Ibu Ira, Elly juga mendakwa produk yang dihantar ke Singapura itu rosak, kering, tidak tahan lama serta tidak dapat dijual sebagai alasan bagi melewatkan bayaran yang diminta.

“Elly juga sering membuat banyak potongan harga dan tidak membayar mengikut sebagaimana harga yang dipersetujui bersama, menyebabkan saya mengalami banyak kerugian.

“ Diharap pengusaha atau usahawan kecil di Johor supaya berhati-hati dengan individu seperti itu yang menggunakan pelbagai helah bagi mengaut keuntungan yang tinggi tanpa mengeluarkan sebarang modal,” jelas ibu tunggal kepada tiga orang anak ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Supritenden Mohammad Shofee Tayib ketika dihubungi pihaknya mengesahkan menerima laporan Polis yang di Balai Polis Pontian oleh kedua-dua mangsa ini.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan salah seorang mangsa beralamat di Johor Bahru, laporan ini akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Daerah ( IPD ) Polis Seri Alam bagi tindakan selanjutnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya