Dua pelajar Politeknik Muadzam Shah maut, kereta dinaiki bertembung dengan lori - Utusan Malaysia

Dua pelajar Politeknik Muadzam Shah maut, kereta dinaiki bertembung dengan lori

ANGGOTA bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa kemalangan dari sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 33, Jalan Bahau-Keratong, Jempol petang tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Dua orang pelajar wanita Politeknik Muadzam Shah, Pahang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 33, Jalan Bahau-Keratong, berhampiran stesen minyak Felda Palong 16, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chen Pui Xia, 22, merupakan pemandu Perodua Axia yang terlibat dalam nahas itu.

Seorang lagi yang maut ialah Norsyahira Rahmat yang merupakan penumpang belakang kereta itu. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Penumpang hadapan pula, Nur Syafikah Shuib, 21, mengalami kecederaan patah kaki kanan dan menerima rawatan di zon merah Hospital Jempol.

“Kenderaan yang dinaiki pelajar politeknik berkenaan merupakan kenderaan yang disewa di sekitar Muadzam, Pahang. Difahamkan kesemuanya dalam perjalanan pulang ke politeknik tersebut dari Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Chang Hook lagi, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu lori berusia 47 tahun memandu berseorangan dari arah Keratong menghala ke Bahau.

“Setibanya di tempat kejadian, semasa melalui jalan menuruni bukit pemandu lori menyatakan datang kenderaan Perodua Axia dari arah bertentangan telah masuk secara mengejut ke laluan lori berkenaan tanpa memberi apa-apa isyarat lalu berlaku pelanggaran depan dengan depan di laluan lori yang sah. 

“Dalam kejadian ini, terdapat saksi bebas juga menyatakan kereta Perodua Axia telah masuk ke laluan bertentangan. Kesan calar pelanggaran pertama juga berada di laluan lori menghala ke arah Bahau,” katanya.

Ujar Chang Hook lagi, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kedua-dua mayat telah dibawa ke Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat esok.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya