PASIR PUTEH: Polis Kelantan giat memburu dua suspek yang bertindak melarikan diri dengan meninggalkan sebuah kereta mengandungi dadah jenis syabu dan pil kuda selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Wakaf Che Yeh, petang semalam.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya sudah mengenalpasti identiti kedua-dua suspek yang merupakan orang dikehendaki selepas dipercayai terlibat dengan jenayah.
Menurutnya, terdahulu polis telah mengesan kereta jenis Toyota Corolla Altis yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kereta mereka diekori, suspek telah bertindak memecut laju dalam usaha meloloskan diri. Bagaimanapun kereta dipandu mereka telah melanggar kenderaan lain.
“Suspek kemudian terus bertindak melarikan diri dengan meninggal kereta tersebut. Hasil pemeriksaan yang dilakukan polis membawa kepada penemuan 52 gram syabu dan 200 biji pil kuda bernilai RM9,800 di dalam sebuah beg di tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita Kontinjen Kelantan di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),Pasir Puteh, di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Adli Ismail.
Muhamad Zaki memberitahu, pada masa sama polis sudah mengenalpasti pemilik kereta tersebut dan akan menahannya dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.
Katanya, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi kurang tepat berhubung kejadian tersebut.-UTUSAN