PUTRAJAYA: Doktor perubatan di Columbia Asia Cheras, Dr. Malar mengganggap Anugerah Pekerja Contoh 2023 yang diterimanya sebagai pemangkin semangat untuk terus berkongsi tips kesihatan berguna kepada rakyat di negara ini.
Beliau yang juga pempengaruh media sosial dan watak utama disebalik ‘Celoteh Dr Malar’ itu melahirkan rasa berterima kasih kepada kerajaan di atas penghargaan diterima itu.
Dr. Malar ketika ditemui hari ini berkata, beliau sudah mengganggap ‘tugas’ itu sebagai tanggungjawab sosialnya kepada rakyat khususnya dalam berkongsi tips kesihatan.
“Saya mahu terus berkongsi informasi kesihatan berguna kepada netizen dengan cara paling mudah, santai dan mudah difahami serta dalam terma yang tidak susah.
“Saya kalau boleh mahu mengurangkan kesesakan di hospital dan jika boleh rakyat dapat ilmu dan tips kesihatan berguna sebelum pergi ke hospital.
“Saya sedar bahawa rakyat dahagakan tentang info kesihatan dalam bahasa Melayu dengan cara yang lebih mudah,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Pekerja 2023, di sini hari ini.
Katanya, ketika ini, beliau banyak terbabit memberi seminar kesihatan dan latihan berkenaan menjaga kesihatan mental.
Dr. Malar berkata, bidang tumpuan utamanya ketika ini adalah berkaitan kesihatan mental, penyakit kronik, kanser, kencing manis, darah tinggi dan penjagaan kesihatan wanita.
Katanya, beliau turut berterima kasih kepada insan-insan di sebalik Celoteh Dr. Malar termasuk ibu bapanya, suami serta dua pengurusnya.
Jelasnya lagi, buat masa ini, Celoteh Dr. Malar kini mendapat sambutan di semua platform media sosial terutama di saluran Facebook dan TikTok.
Terdahulu, Dr. Malar menerima Anugerah Pekerja Contoh 2023 sempena sambutan Hari Pekerja 2023 yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr. Malar dikenali ramai di platform media sosial khususnya sejak Mac 2020 selepas aktif berkongsi tips mengenai Covid-19 dan vaksin.
Lebih menarik, perkongsian itu disampaikan dalam bahasa Melayu sekali gus menarik perhatian semua golongan masyarakat di negara ini selain disampaikan dengan cara yang lebih mudah difahami. –UTUSAN