Dana judi PN: Anwar pertahan kenyataan

Dana judi PN: Anwar pertahan kenyataan

ANWAR Ibrahim melambai para pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-40 di Pusat Dagangan Dunia di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataannya berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) memperoleh dana judi untuk berkempen semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar berkata, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sekiranya tidak mempunyai asas berhubung dakwaan yang dirinya keluarkan sebelum ini.

Kata beliau, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meneliti secara lengkap kenyataannya terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Baca kenyataan benar-benar lengkap dan baharu ambil tindakan. Tapi, kalau dia nak bawa terus, silakan, saya tidak akan keluar kenyataan kalau tiada asas,” katanya ketika ditemui media, di sini.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menghadiri Majlis Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-40 di Pusat Dagangan Dunia di sini semalam.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh meminta Anwar memohon maaf selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggugurkan siasatan terhadap dana judi yang digunakan PN semasa kempen PRU15.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengesahkan siasatan berhubung dana tersebut akan diteruskan dan melibatkan pelbagai agensi.

“Tentu (masih berjalan). Ia melibatkan banyak agensi. Bila dah ada bukti baharu, barulah akan diambil tindakan berikutnya. 

“Biar agensi lain buat siasatan seterusnya,” katanya. 

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan mengatakan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Katanya, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka.

Bagaimanapun, Azalina semalam tampil memberi penjelasan lanjut dan mengatakan jawapan bertulis itu tidak menyatakan siasatan SPRM berhubung dakwaan itu sudah dihenti atau digugurkan.

Susulan jawapan bertulis itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan gabungan berkenaan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Anwar meminta sesiapa yang mempunyai cadangan untuk menukar menteri dan mengubah barisan Kabinet boleh mengemukakan padanya.

“Ada cadangan, sila tulis pada saya dan saya akan beri pertimbangan sebaiknya,” katanya diminta mengulas mengenai desas-desus Kabinet akan berubah sebaik sahaja tamat Pilihan Raya Negeri (PRN).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya