Curi air pili bomba: Siti Zailah boleh dikenakan tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Curi air pili bomba: Siti Zailah boleh dikenakan tindakan undang-undang

NGA Kor Ming memeriksa Kawalan Kehormatan Bomba ketika Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Seremban di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada terhadap seorang Ahli Parlimen pembangkang dari Kelantan yang didakwa menggunakan air dari pili bomba tanpa pengetahuan jabatan tersebut.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, hasil siasatan pihaknya, Ahli Parlimen berkenaan tidak mendapat sebarang kebenaran untuk menggunakan air dari pili bomba berkenaan dan sehubungan itu tindakan tersebut boleh dianggap sebagai mencuri.

“Saya perlu berikan teguran iaitu di bawah Seksyen 26, Akta Perkhidmatan Bomba 1988, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana pihak terlibat mencuri dan mengambil air dari pili bomba tanpa kebenaran. Sesiapa yang mahu ambil air dari pili bomba perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak bomba.

“Mana-mana pihak terlibat wajib mohon maaf kepada bomba dan jika betul jangan lagi keluarkan kenyataan yang tidak benar. Ahli Parlimen tersebut mengikut laporan media mengatakan bahawa beliau ambil air itu dengan kebenaran bomba.

“Dalam siasatan kami jelas, pengarah bomba negeri juga sudah sahkan dia tidak ada sebarang kebenaran. Saya serahkan kepada JBPM untuk mengambil tindakan mengikut akta tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Seremban di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial berkaitan tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff yang didakwa menggunakan air dari pili bomba sebagai bekalan air bersih untuk dihantar kepada penduduk yang terjejas dan terputus bekalan air.

Tindakan Siti Zailah bagaimanapun mendapat kecaman warga maya yang rata-rata berpendapat perbuatan itu salah dan tidak patut berlaku.

Siti Zailah kemudian memaklumkan tindakannya menggunakan air dari pili bomba mendapat kebenaran pihak Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) serta JBPM.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasain kemudian dilaporkan berkata tidak menerima sebarang permohonan daripada Ahli Parlimen untuk mengambil air daripada pili bomba.

Kor Ming dalam pada itu menambah, jika tindakan mengambil air dari pili bomba dibiarkan berterusan, ia akan mendatangkan kesukaran kepada pihak boma dalam menghadapi kebakaran iaitu melibatkan tekanan air dan isipadu air yang tidak cukup.

“Ikut peruntukan akta, tindakan mengambil atau mencuri air pili bomba boleh dikenakan kompaun sebanyak RM100 sehingga RM500 tetapi sekiranya didapati bersalah untuk kali kedua, tindakan ini tidak boleh dikompaun lagi sebaliknya didakwa di mahkamah,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN