BALIK PULAU: Kawasan perkelahan di sekitar daerah ini menjadi tumpuan orang ramai untuk menyejukkan badan ekoran cuaca panas terik yang melanda ketika ini.
Tinjauan di Taman Rimba Teluk Bahang di sini mendapati, kawasan itu menerima kehadiran pengunjung berlipat kali ganda yang mahu beriadah dan bermandi-manda bersama ahli keluarga.
Kawasan perkelahan yang dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan mempunyai kira-kira lima buah kolam itu penuh dengan pengunjung tanpa mengira kaum sejak mula dibuka awal pagi.
Kedatangan pengunjung ke Taman Rimba Teluk Bahang itu turut membawa rezeki kepada peniaga makanan dan minuman yang berniaga di situ.
Seorang peniaga di Taman Rimba Teluk Bahang, Sharifah Abdul Rahman, 56, berkata, pada minggu ini terutama ketika Sabtu dan Ahad jumlah pengunjung meningkat sehingga kawasan parkir di taman berkenaan penuh.
”Pengunjung memang ramai dan mereka datang seawal 8 pagi untuk bermandi-manda bagi menyejukkan badan.
”Untuk berkunjung ke taman ini yang mempunyai kolam dari air sungai juga percuma, jadi memang tempat ini menjadi tumpuan ramai terutama ketika hujung minggu,” katanya ketika ditemui di Taman Rimba Teluk Bahang, di sini semalam.
Menurut Sharifah, buah kelapa pandan yang dijual digerainya turut menjadi buruan pengunjung sepanjang musim panas ketika ini.
”Setiap hari lebih 30 biji buah kelapa dapat dijual kepada pengunjung di taman ini kerana buah kelapa berkhasiat dan dapat menyejukkan badan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Suhaimi Talib, 46, berkata, dia bersama isteri membawa dua anak mereka mengunjungi kawasan perkelahan berkenaan untuk menyejukkan badan.
“Kawasan sungai sebegini sesuai untuk meredakan bahang panas kerana tempatnya lebih redup dan sejuk dikelilingi pokok-pokok.
”Suasananya nyaman dan sejuk berbanding di rumah, anak-anak saya juga gembira bermandi manda di sini kerana airnya sejuk,” katanya. -UTUSAN