GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Pasir Linggi dan Kampung Aring 5, Pos Lebir di sini memilih untuk tinggal dalam pondok buluh bagi mengelakkan bahang susulan cuaca panas melampau ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pondok buluh yang menggunakan atap daun cucuh dibina berhampiran rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Seorang penduduk Kampung Aring 5, Ghani Alang, 42, berkata, mereka berbuat demikian sejak sebulan lalu selepas tidak tahan dengan cuaca panas pada waktu siang.
“Kami tak tahan dengan cuaca panas sekarang ini. Pada waktu siang hari kami akan tinggal dalam pondok buluh dan waktu malam baharulah kami pulang semula ke rumah.
“Kebiasaannya penduduk memilih untuk membina pondok buluh berdekatan pokok dan kawasan teduh kerana boleh membangkitkan suasana dingin,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Alias Panjang, 45, memberitahu, suasana di dalam pondok lebih dingin berbanding kawasan rumah.
Katanya, situasi itu membolehkan dia dan keluarga berehat dengan tenang sepanjang waktu siang selepas penat bekerja.
“Selain itu, kami turut mengehadkan aktiviti di kawasan kebun dan masuk ke hutan. Setiap hari kami akan melakukan kerja sehingga pukul 11 pagi kerana tidak mampu ‘melawan’ cuaca panas.
“Kami orang dewasa terasa pedih kulit kerana terdedah cuaca panas dan kanak-kanak juga kerap menangis akibat tidak tahan dengan keadaan itu,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk Kampung Pasir Linggi, Yah Karim, 45, berkata, cuaca panas ketika ini banyak menyebabkan anak-anak Orang Asli mudah mengalami demam.
Katanya, disebabkan itu dia juga mengawal anaknya agar tidak bermain di luar rumah ketika waktu tengah hari. -UTUSAN