PUTRAJAYA: Produk kosmetik, Clemira Care Cream dikesan mengandungi racun berjadual iaitu Miconazole yang boleh mengakibatkan risiko kerintangan akibat penggunaan tidak terkawal.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, susulan itu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada
membeli dan menggunakan produk kosmetik tersebut.
Beliau berkata, notifikasi produk kosmetik terlibat dibatalkan dan tidak lagi
dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Beliau menjelaskan, produk yang mengandungi miconazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
” Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan.
“Ini seperti anti-fungal (Miconazole) yang diguna secara tidak terkawal boleh
meningkatkan risiko kerintangan dan seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Radzi berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
Katanya, penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar
Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Beliau memberitahu, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
“Hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Pada masa sama, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Jelasnya, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini
dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan
mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami
sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.-UTUSAN