Cikgu Riha tak jemu bacakan buku untuk pelajar rabun

Cikgu Riha tak jemu bacakan buku untuk pelajar rabun

TUAN SARIPAH NOR RIHA Tuan Jaafar menunjukkan trofi pada Majlis AGI McDonald's 2023 di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Kalau orang lain hanya berusaha dua kali, kamu kena usaha lebih 10 kali untuk berjaya”.

Itu titipan nasihat yang selalu diucapkan bekas guru bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, Alor Setar, Kedah; Tuan Saripah Nor Riha Tuan Jaafar, 55, ketika mengajar seorang pelajar istimewa, Azhar Kamis yang dikategorikan sebagai rabun.

Kata Tuan Saripah Nor Riha, kira-kira 20 tahun lalu, disebabkan terdapat pelajar inklusif yang masuk ke kelas murid normal, beliau perlu memperlahankan percakapan supaya Azhar dapat turut sama mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran (PdP).

“Saya sedar ada perbezaan mengajar pelajar normal dan inklusif. Walaupun ada kekurangan, saya nampak dia ada potensi dan berusaha untuk belajar.

“Setiap kali selepas waktu persekolahan saya akan panggil dia untuk belajar komponen sastera (Komsas). Saya akan bacakan buku tersebut kepadanya supaya dia faham jalan cerita.

“Alhamdulillah, berkat usaha belajar di sebalik kekurangan pancaindera, dia berjaya mendapat B untuk subjek berkenaan dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Itu sudah cukup membanggakan saya kerana pelajar celik belum tentu mampu untuk dapat keputusan yang sama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Tuan Saripah Nor Riha atau lebih mesra dipanggil cikgu Riha, Azhar menghidap penyakit rabun genetik yang mana tidak boleh pulih dengan memakai cermin mata biasa atau menjalani pembedahan.

Cikgu Riha yang kini bertugas di SMK Shah Alam, Selangor berkata, beliau pernah berusaha mendapatkan tajaan berjumlah RM800 hingga RM1,200 untuk anak muridnya itu menjalani pembedahan mata.

“Kalau tidak boleh sembuh, sekurang-kurangnya mata dia sedikit lebih baik berbanding sebelum ini. Selepas tamat persekolahan, dia menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan kini bergelar pensyarah bahasa Korea di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Saya sebak kerana dia masih ingat pada saya dan mencalonkan saya untuk AGI 2023 walaupun hampir 23 tahun tidak bertemu. Sebagai guru, saya bangga dengan pencapaiannya sekarang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya