SERDANG: Pengeluaran durian China tidak menjejaskan aktiviti eksport mahupun pendapatan pekebun atau pengusaha raja buah tempatan ke republik itu untuk sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, ini berikutan penanaman durian di Pulau Hainan dengan keluasan lebih 2,000 hektar dengan penghasilan kira-kira 2,450 tan durian semusim itu belum tentu cukup untuk menampung permintaan rakyat China.
Sehubungan itu, katanya, China masih perlu mengimport durian dari Malaysia bagi memenuhi permintaan rakyatnya yang gemar makan durian.
“Tidak perlu bimbang, mereka tanam tidak seluas mana pun jika mahu dibandingkan dengan jumlah penduduk republik itu. Jauh sangat.
“Walaupun mereka cadang untuk memperluaskan tanaman kepada 3,333 hektar dengan pengeluaran kira-kira 67,000 tan metrik durian pun belum tentu cukup untuk rakyat mereka,” katanya ketika ditemu bual Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
PROJEK
Sebelum ini, khabar mengenai China bakal memasarkan durian tempatan melalui projek ladang durian di Pulau Hainan mencetuskan kebimbangan mengenai nasib durian tempatan yang kini banyak dieksport ke negara itu.
Menurut Mohamad Zabawi, China perlu menunggu sekurang-kurangnya empat tahun lagi sekiranya mahu menambah pengeluaran buah durian untuk mendapatkan hasil berganda.
“Misalnya, selepas empat tahun, sudah masuk tahun kedua dan boleh menghasilkan lebih banyak durian. Contoh, dalam 10 tan, paling-paling tidak pun dalam dua atau tiga kontena sahaja. Daripada jumlah itu kita masih boleh mengeksport durian ke China kerana jumlah itu masih tidak dapat memenuhi permintaan peminat raja buah di republik itu.
“Bahkan, orang China amat menggemari durian kita berbanding Thailand. Selain itu berdasarkan dapatan kajian yang pernah kita lakukan, 95 peratus rakyat republik itu menyatakan durian Malaysia lebih baik berbanding Thailand,” ujarnya.
Tambahnya, teknologi serta penyelidikan di Malaysia mengenai penanaman durian lebih maju sekali gus masih meletakkan negara ini pada kedudukan yang baik sebagai pengeksport durian.
“Kita ada pakej teknologi penanaman sedangkan China baru belajar dan itu saya rasa tidak perlu ada kebimbangan dalam pasaran durian negara,” jelasnya. – UTUSAN