SHAH ALAM: Tindakan seorang buruh yang berang dengan rakan serumahnya apabila enggan mengemas rumah menyebabkan dia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Tertuduh, Mohd. Khairul Izuwan Che Rahim, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Mahkamah turut memerintahkan tambahan penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mohd. Khairul didakwa melakukan ugutan untuk membunuh seorang lelaki berusia 23 tahun sambil membawa sebilah pisau dalam sebuah rumah di Kampung Sri Aman, Puchong pada pukul 6 petang, 1 April lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ketika kejadian memarahi mangsa yang menjadi rakan serumah sejak dua tahun lalu kerana tidak mengemas bilik.
Malah, dia turut bertindak membakar baju, kasut serta seluar mangsa serta mengejar rakan serumahnya sambil memegang sebilah pisau dan berteriak ‘aku dapat kau, aku bunuh kau’.
Bagaimanapun, pada prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda sahaja sebelum Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Baghwant Singh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. – UTUSAN