Budak lelaki dipercayai korban terbaharu strok haba - Utusan Malaysia

Budak lelaki dipercayai korban terbaharu strok haba

AIRIEL SYAHREN SYAHROL meninggal dunia akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ yang dikaitkan dengan kesan strok haba di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi semalam dipercayai mengalami simptom strok haba.

Bapanya,  Syahrol Azmi Mohd. Hekak, 42,  mendakwa, anaknya, Airiel Syahren Syahrol disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Katanya, anak kedua daripada empat beradik itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Pada mulanya, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lelaki Bandar Kluang itu termasuk adik lelakinya berusia sembilan tahun dan ibu mereka mengalami demam biasa serta sudah makan ubat.

“Saya kemudiannya kejutkan dia dan suruh dia tidur di luar (ruang tamu), mungkin di bilik itu sejuk sebelum mendengar seperti benda jatuh dan kemudian mendapati dia (areas) menjadi kejang dengan badan mengerekot di ruang tamu.

“Keadaan itu buatkan saya panik dan terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan ambulans. Dalam tempoh itu, anak saya tetap meronta-ronta sampai terberak, terkencing seperti terlalu sakit, malah simptom sama turut berlaku kepada adiknya namun hanya sekejap,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bentong, di sini hari ini

Pada pukul 7 pagi, dia menerima panggilan daripada petugas HEBHK supaya membeli lampin pakai buang untuk anaknya namun tidak lama kemudian dia mendapat panggilan kedua yang menyuruhnya segera datang ke wad.

“Ketika meninjau di tabir katil anak, saya terkejut apabila mendapati pihak doktor sedang memberikan rawatan kecemasan kepadanya. Kemudian dua orang doktor memanggil saya ke bilik mereka dan menerangkan anak saya mengalami simptom strok haba sehingga menyebabkan buah pinggang terjejas, imej x-ray dadanya berwarna putih selain terkena radang otak.

“Saya tak sanggup lagi nak melihat anak saya terseksa kerana mata putihnya sudah merah dan saya bercakap dalam hati saya izinkan anak saya ‘pergi’,” katanya.

Dia tidak menyangka anak yang disifatkan sebagai pendiam, suka tersenyum dan ringan tulang membantu keluarga itu pergi terlalu cepat.

“Jangan ambil mudah jika anak-anak anda mengalami demam, jangan fikir lagi soal ada duit atau tidak, segera hantar mereka mendapatkan rawatan di hospital. Jenazah anak saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong selepas Zuhur semalam,” katanya.

Anak ketiganya, Aidil Syahren kini sudah stabil dan masih berada di wad HEBHK. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN