KUANTAN: Kawasan dan lokasi dianggarkan berisiko tinggi berlaku kebakaran akibat cuaca panas melampau disaran membina lebih banyak empangan dan telaga tiub.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, terdapat 406 kawasan di seluruh negara sudah dikenal pasti sebagai titik panas dan berisiko berlaku kebakaran terbuka.
Menurutnya, persediaan membina empangan dan telaga tiub itu boleh dicapai hasil kerjasama antara JBPM negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
“Hasil kerjasama antara JBPM negeri dan JMG itu adalah bagi mengenal pasti lokasi baru yang bersesuaian. JBPM juga merancang membuat perolehan tambahan termasuk pam mudah alih bagi kegunaan operasi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Aidilfitri JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata, penggunaan empangan dan telaga tiub begitu efektif dalam operasi pemadaman kebakaran hutan terutama di kawasan tidak mempunyai akses air atau sumber air yang terhad.
Jelasnya, beberapa titik panas sudah dikenal pasti di negeri ini antaranya di kawasan tebu hitam, Rompin, Pekan serta Penor dan Gebeng, di sini.
“Kita sudah bersiap sedia menghadapi kes-kes kebakaran terbuka terutama melibatkan kawasan tanah gambut. Sebagai langkah persediaan awal, semua aset diperlukan sudah diselenggara dan berada dalam keadaan sedia digunakan untuk operasi pemadaman sekiranya berlaku kebakaran,” katanya. – UTUSAN