Bekas ratu cantik terima gangguan seksual daripada ratusan lelaki Bangladesh - Utusan Malaysia

Bekas ratu cantik terima gangguan seksual daripada ratusan lelaki Bangladesh

LEE GUAN YOKE (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas menerima gangguan seksual daripada ratusan lelaki Bangladesh sejak 17 Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemenang 10 kali pertandingan ratu cantik berdepan gangguan seksual daripada lebih 200 lelaki warga Bangladesh selepas namanya diburuk-burukkan seorang kenalan dalam media sosial, baru-baru ini.

Situasi itu menyebabkan Lee Guan Yoke, 41, kini mengalami gangguan emosi ekoran gangguan diterima sehingga pernah terfikir untuk membunuh diri.

“Saya hanya tahu dijadikan satu bahan gurauan seksual oleh seorang kenalan yang pernah berjumpa dua kali apabila secara tiba-tiba saya menerima ratusan mesej dan panggilan telefon.

“Kesemuanya daripada lelaki Bangladesh dengan kata-kata lucah serta sindiran dan perkara ini mengganggu emosi saya kerana menjejaskan nama baik saya dan keluarga. Ia juga mengganggu kerjaya dan kehidupan peribadi saya sebagai ibu tunggal yang menjaga tiga orang anak kecil yang masih bersekolah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini hari ini.

Guan Yoke yang bekerja sebagai pemandu pelancong  mula menerima gangguan tersebut sejak 17 Mei lalu.

“Pada hari itu, saya terjumpa satu rakaman video ‘live’ Facebook dibuat seorang lelaki bernama Lee Fook Soon yang seolah-olah menjual diri saya kepada sekumpulan lelaki Bangladesh. Ayat-ayat yang digunakan semuanya berbaur lucah dan gangguan seksual, antaranya ‘dia satu malam mahu tujuh kali’, ‘nanti kamu jalan macam biawak, setelah Bangla hentam kamu tujuh kali’ dan lain-lain,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Yoke telah membuat dua laporan polis tentang gangguan tersebut, masing-masing satu  di Balai Polis Taman Universiti dan Balai Polis Ulu Tiram pada 18 dan 21 Mei lalu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Joan Ng Geok Yin memberitahu, pihaknya akan merujuk kes tersebut kepada agensi berkaitan supaya dapat membela kesejahteraan mangsa.

“Kami sudah hubungi lelaki berkenaan, dia mengaku membuat rakaman ‘live’ tersebut tetapi mendakwa hanya gurauan. Namun tindakannya itu telah mengganggu ketenteraman hidup mangsa yang juga seorang ibu tunggal dan kami berharap pihak berkuasa dapat bertindak serta memberi pembelaan terhadap mangsa kerana pada waktu ini rakaman video lelaki tersebut masih boleh ditonton dalam media sosial,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya