Bekalan gula di Negeri Sembilan mencukupi, lebihi penggunaan - Utusan Malaysia

Bekalan gula di Negeri Sembilan mencukupi, lebihi penggunaan

MUHAMMAD Zahir Mazlan (kiri) ketika melakukan tinjauan bekalan gula di sebuah syarikat pemborong di Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekalan gula di Negeri Sembilan ketika ini adalah mencukupi dan terkawal untuk memenuhi keperluan pengguna.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan sehubungan itu berkata, pengguna dinasihat supaya tidak membuat pembelian panik sehingga boleh menimbulkan kacau ganggu terhadap bekalan gula di negeri ini.

“Bekalan gula yang ada adalah melebihi penggunaan penduduk di negeri ini. Secara keseluruhannya, dianggarkan sebanyak 600 metrik tan digunakan rakyat di negeri ini manakala bekalan gula yang dibekalkan dua syarikat pengeluar utama mencapai 735 metrik tan sebulan. 

“Oleh itu, kami beri jaminan bekalan gula di negeri ini adalah stabil dan mencukupi. Daripada segi harga pula, kami juga tidak menerima sebarang aduan berhubung harga gula yang tinggi atau sebagainya,” ketika ditemui selepas melakukan tinjauan bekalan gula di sebuah syarikat pemborong di Rantau di sini hari ini.

Sementara itu, ujar Muhammad Zahir, di negeri ini terdapat 11 pemborong utama yang dibenarkan untuk menyimpan dan mengedarkan barangan kawalan.

“KPDN Negeri Sembilan juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pemborong utama gula pada 17 Mei lalu bagi membincangkan dan mencari langkah untuk mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam pasaran berlaku.

“Peniaga atau pemborong diingatkan supaya tidak menyorokkan gula dan menaikkan harga gula sesuka hati yang membolehkan tindakan tegas dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sejak 1 Januari hingga 23 Mei lalu, KPDN Negeri Sembilan telah melaksanakan 31,054 pemeriksaan dan tidak menerima aduan rasmi mengenai ketiadaan bekalan gula daripada pengguna di negeri ini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya