GUA MUSANG: Hasil bedah siasat ke atas mayat seorang Orang Asli yang ditemukan tersangkut pada tunggul kayu di kuala Sungai Tunggul, Kampung Aring 5 di sini pada Khamis lalu mendapati ada gigitan harimau pada leher kanan mangsa.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil bedah siasat di Hospital Gua Musang di sini turut mendapati bahagian tengkorak kepala mangsa, Halim Asin, 27, juga tembus akibat dibaham haiwan terbabit.
“Siasatan lanjut anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan kejadian menemui kesan tapak kaki harimau,” katanya.
Sementara itu, jenazah Halim selamat dikebumikan mengikut adat suku kaum itu di Tanah Perkuburan Kampung Aring 5, di sini kira-kira pukul 5.15 petang semalam.
Jenazah mangsa dibawa keluar dari Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang di sini selepas proses bedah siasat dilakukan pada pukul 11 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Aring 5, Mohd. Fazli Mamok berkata, jenazah Halim dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kerana keadaan jalan rosak dan perlu melalui kawasan ladang.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah penduduk Orang Asli Bateq di kampung ini, proses pengebumian dilakukan sedikit berbeza mengikut adat dalam keadaan secara ringkas.
“Kami mendapat maklumat bahawa kematian mangsa ada kaitan dengan serangan binatang buas. Jika mengikut adat suku Bateq, kita tidak boleh rapat dan tidak boleh pegang mayat tersebut kerana bimbang terkena badi mayat,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Mohd. Fazli memberitahu, beberapa penduduk Orang Asli Bateq terpaksa melapik mayat menggunakan tikar dan memakai sarung tangan semasa melakukan proses pengebumian.
“Mengikut kepercayaan orang Asli, kebarangkalian akan berlaku kematian cara yang sama sekiranya kita pegang mayat orang yang terkena keganasan binatang buas,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Halim ditemui tersangkut pada tunggul kayu dalam keadaan separuh bogel di kuala Sungai Tunggul di Kampung Aring 5 di sini.
Mayat mangsa dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada hari kedua operasi pencarian oleh pasukan penyelamat dalam keadaan telungkup di dalam air kira-kira pukul 5.10 petang.-UTUSAN