JOHOR BAHRU: Gara-gara tidak puas hati dibaling pemadam, sekumpulan pelajar tingkatan tiga bergaduh di hadapan sebuah sekolah menengah di Kempas, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 3.43 petang itu beberapa pelajar terbabit mengalami luka pada bahagian kepala serta lebam kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kecederaan yang dialami pelajar itu agak serius dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku berpunca daripada rasa tidak puas hati salah seorang pelajar yang telah dibaling dengan pemadam oleh rakan sekelasnya dua hari sebelum pergaduhan.
“Akibat pergaduhan tersebut, beberapa pelajar sekolah tersebut telah mendapat rawatan di hospital kerana mengalami kecederaan di kepala serta lebam pada kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan kejadian itu pihak polis telah melakukan beberapa tangkapan melibatkan kalangan pelajar terlibat.
“Pihak polis menasihatkan agar masyarakat tidak mensensasikan isu ini yang boleh memberi implikasi terhadap keharmonian kerana siasatan masih berjalan.
“Polis menasihati masyarakat agar bersikap rasional dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dan janganlah melakukan perbuatan melulu sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – UTUSAN