Bau busuk bawa penemuan mayat lelaki

Bau busuk bawa penemuan mayat lelaki

ANGGOTA forensik membawa keluar mayat seorang lelaki yang dijumpai di ruang parkir bawah tanah sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bau busuk seperti bangkai di sekitar kawasan sebuah hotel di Jalan Pengkalan Chepa di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di kawasan parkir di ruang bawah tanah bangunan tersebut hari ini.

Mayat lelaki yang berpakaian lengkap itu dijumpai di kawasan takungan air hujan setinggi lebih 0.3 meter di parkir hotel berkenaan kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Seorang kakitangan hotel terbabit yang enggan dikenali berkata, dia terhidu bau busuk semasa menjalankan pemantauan di bangunan tersebut sebelum melihat kelibat manusia terbaring di kawasan parkir bawah tanah.

“Tugas saya adalah untuk memantau sekitar kawasan hotel dan tidak menyangka ada mayat di kawasan tempat letak kenderaan yang dipenuhi takungan air hujan.

“Sebelum ini, saya hanya jumpa bangkai anjing dan kucing di kawasan berkenaan. Kakitangan hotel yang lain pernah membuang takungan air di kawasan tempat letak kenderaan hotel sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Kakitangan hotel itu memberitahu, dia kemudian terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat terbabit.

Difahamkan, hotel berkenaan tidak beroperasi sejak tiga tahun lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dijangka akan memulakan semula operasinya tidak lama lagi.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, sepasukan anggota polis membawa keluar mayat mangsa dari kawasan berkenaan pada pukul 6.20 petang tadi.

Sebelum itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu turut melakukan proses menyedut air di kawasan tempat letak kenderaan itu kira-kira pukul 3 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya