BAGAN SERAI: Sebuah banglo lama yang terbiar di sini dipercayai dijadikan tempat menjalankan aktiviti pemujaan nombor ekor oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Tinjauan Utusan Malaysia di rumah dua tingkat itu yang dipercayai didirikan pada zaman British menemukan berpuluh botol kaca kosong yang dipercayai dijadikan bekas air mawar yang ditemukan di bahagian rumput di hadapan pintu utama, dipercayai untuk ritual puja nombor ekor.
Selain itu, ditemukan juga tempat bara menyalakan kemenyan yang ditinggalkan di kawasan itu.
Berdasarkan beberapa penemuan itu termasuk satu tikar lusuh di bahagian bilik tidur belakang berhampiran tandas, dipercayai berlaku aktiviti pemujaan di dalam banglo itu.
Sementara itu, bahagian dalam rumah tersebut kebanyakannya ditumbuhi pohon kayu bersaiz besar manakala lantai tingkat atas roboh termasuk tangga.
Sementara itu, penduduk berkata, mereka tidak pasti apa bentuk pemujaan yang dilakukan oleh pihak tertentu di rumah lama itu.
Seorang penduduk, Mohamed Arif Amin, 55, berkata, jika benar berlaku kegiatan pemujaan untuk nombor ekor, ia perlu dihentikan.
“Jika itu berlaku, pemantauan perlu dilakukan bagi mencegah golongan yang berminat dengan suasana mistik melakukan perbuatan khurafat di kampung ini,” katanya.
Sementara itu, rumah lama itu juga sering dikaitkan dengan kejadian misteri dan menakutkan dalam kalangan penduduk.
Namun seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Siva, 65, berkata, rumah lama itu sudah wujud sejak sebelum dia dilahirkan.
“Sepanjang pengetahuan saya, banglo ini pernah diduduki oleh dua tiga orang namun setelah itu ia kosong terbiar,” katanya.
Menurutnya, dia ada mendengar pelbagai cerita menyeramkan yang dikaitkan dengan rumah itu, namun, tidak mempedulikannya.
“Saya ada mendengar cerita yang kononnya rumah banglo itu berhantu tapi semua itu tidak betul, tiada apa-apa yang berlaku sejak saya tinggal di kawasan ini sejak dilahirkan,” katanya.
Seorang pempengaruh, Mohammad Syahid Mohamad Fikri, 34, berkata, dia pernah datang ke banglo itu untuk membuat video untuk paparan media sosial miliknya.
“Namun ketika itu saya tidak masuk ke kawasan rumah dan saya tidak tahu ada aktiviti pemujaan di rumah ini,” katanya. –UTUSAN