PUTRAJAYA: Tan Sri Azam Baki dilantik semula bagi memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh satu tahun lagi berkuat kuasa 12 Mei 2023.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
“Seri Paduka Baginda memperkenan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 12 Mei 2023,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sebelum ini, Azam yang memegang jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM dilantik bagi mengisi kekosongan Ketua Pesuruhjaya ditinggalkan Latheefa Koya pada 9 Mac 2020.
Azam mempunyai pengalaman lebih 30 tahun bersama suruhanjaya itu dengan memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Siasatan di Badan Pencegahan Rasuah (BPR) berpangkat Penolong Penguasa di Bahagian Perisikan pada tahun 1984. – UTUSAN