KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa khabar gembira kepada rakyat Kelantan pada sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam ini.
Anwar berkata, perkhabaran itu melibatkan beberapa keputusan baharu yang dijangka melebihi peruntukan semasa pembentangan Belanjawan Madani pada tahun lalu.
“Pengumuman itu melibatkan projek-projek yang saya percaya akan dapat membantu membangunkan Kelantan.
“Supaya Kelantan tidak lagi ketinggalan dari negeri-negeri lain,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tunjong di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL) Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Sri Darwish Abdul Razak serta Pengarah Eksekutif China Communication Construction Company Ltd (CCCC) Lui Hui.-UTUSAN