Anugerah Seri Melaka diperkenal bermula tahun ini - KM

Anugerah Seri Melaka diperkenal bermula tahun ini – KM

AB. RAUF Yusoh (dua dari kanan) dan Fadhlina Sidek (kiri) bergambar bersama tiga penerima Anugerah Khas Peribadi Ketua Menteri Melaka ketika Majlis Makan Malam Anugerah Hari Guru 2023 di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri bakal menjadi perintis dengan memperkenalkan Anugerah Seri Melaka (ASM) khusus untuk meraikan tokoh-tokoh dalam kalangan anak Melaka yang berjaya serta menyumbang khidmat bakti di peringkat nasional mahupun persada dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, syarat untuk dicalonkan bagi anugerah itu mestilah pernah mendapat pendidikan awal di negeri ini, di samping beberapa syarat lain seperti tokoh yang bersekolah di Melaka bermula 1990.

Katanya, pemilihan calon ASM akan dilakukan oleh 28 Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) sebelum dinilai jawatankuasa peringkat negeri.

“Saya yakin dan percaya, generasi yang dilahirkan oleh guru-guru sehingga menjadi tokoh ini bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah memiliki nilai sahsiah terpuji dan berkemahiran tinggi sehingga dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Syarat mesti dapat pendidikan awal di Melaka, ramai lagi tokoh-tokoh yang berjaya. Jadi mereka-mereka ini telah dapat pendidikan awal di sekolah.

“Tapi kategori itu saya akan beri syarat-syarat, mungkin pengajian bermula 1990-an, banyak artis-artis, nama-nama besar dari Melaka. Anugerah akan diberi tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Anugerah Hari Guru 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Sebanyak empat kategori disampaikan iaitu Anugerah Khas Pendidikan (enam anugerah), Anugerah Guru Inovatif (enam anugerah), Anugerah Guru Berwibawa (tujuh anugerah) dan Anugerah Guru Ikon (sembilan anugerah).

Tambah Ab. Rauf, Melaka juga mengambil inisiatif melestarikan sejarah sekolah-sekolah dengan mengangkat nama sekolah yang berasaskan nama tokoh tersohor.

“Akan dikaji dan dipaparkan sejarah tokoh tersebut agar penghayatan nilai-nilai sejarah dapat dizahirkan bukan sahaja oleh anak-anak yang bersekolah, malah guru-guru juga perlu menghayati nilai ini.

“Sebanyak 42 buah sekolah iaitu 29 buah sekolah menengah dan 13 buah sekolah rendah yang telah dikenal pasti adalah berasaskan nama-nama tokoh di Melaka.

“Umpamanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba bagi mengenang jasa tokoh ini yang merupakan anak watan Melaka dan seorang tokoh politik negara yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1986 hingga 1993,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya