TANAH MERAH: Keputusan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memilih Pas sebagai wadah perjuangan bukan kerana mahu mewakili parti itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan tidak lama lagi.
Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindakan bertujuan melahirkan sokongan terhadap perjuangan parti itu selain menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap UMNO.
“Bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tidak sesuai untuk Annuar yang disifatkan sebagai seorang tokoh yang bertaraf nasional.
“Kalau dia masuk sebab nak bertanding, nak bertanding di mana kan? Nak kata bertanding di DUN ni terlalu kecil bagi dia kerana taraf dia adalah tokoh nasional bukan tokoh kampung ,”katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Jajahan Tanah Merah di Masjid Ikhtikad, Kampung Panjang, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, setakat ini Pas masih belum membuat sebarang keputusan meemandangkan Annuar baru sahaja menyerahkan borang permohonan untuk menyertai parti itu.
Katanya, permohonan yang diterima untuk menyertai Pas semakin ramai dan pihaknya akan membuat pengisytiharaan mengenai perkara tersebut selepas keputusan dibuat.
“Mungkin dalam mesyuarat bulan depan Pas akan membuat keputusan sama ada terima atau tidak permohonan Annuar dan bukan dia seorang yang baru masuk Pas.
“Ada ramai lagi yang sudah membuat permohonan (sertai Pas) jadi kita selesai satu-satu. Tunggu, nanti kita isytihar,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Tan Sri Annuar Musa mengesahkan sudah menghantar borang permohonan menyertai Pas bulan lalu bersama lebih 1,000 ahli UMNO lain.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau memutuskan menyertai Pas selepas lebih enam bulan meneliti secara dekat dan mendalam suasana politik negara mutakhir ini dan keputusan tersebut diambilnya ketika berada di Tanah Suci Mekah.-UTUSAN