SEREMBAN: Penduduk di Taman Bukit Kepayang dan Taman Harmonium di sini terpaksa berdepan bau busuk dan risiko jalan licin sejak 11 hari lalu selepas terdapat air longkang di taman perumahan tersebut melimpah keluar.
Seorang penduduk, Mohd. Jamaludin Mohd. Rashid, 63, berkata, masalah tersebut bermula pada hari raya kedua yang lalu selepas longkang di satu barisan belakang rumah penduduk Taman Harmonium melimpah keluar selepas longkang besar yang membawa air dari longkang tersebut ke kolam takungan air berhampiran tersumbat.
Jelasnya, keadaan tersebut mengakibatkan sisa air dari rumah penduduk melimpah keluar ke atas jalan raya sehingga ia mengalir ke Taman Bukit Kepayang yang terletak bersebelahan taman perumahan berkenaan.
Tambah beliau, masalah bau busuk yang terpaksa dihadapi penduduk itu bertambah buruk apabila hujan lebat.
“Ini semua air dari dapur rumah penduduk yang mengalir ke longkang di belakang rumah mereka. Ia sepatutnya mengalirkan air ke dalam longkang besar yang kemudiannya akan mengalirkannya ke kolam takungan.
“Bagaimanapun longkang tersebut telah tersumbat dan air langsung tidak dapat mengalir. Keadaan itu menyebabkan air melimpah ke atas jalan yang menyebabkan masalah bau busuk dan jalan licin sekali gus boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk jika tiada tindakan segera diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Jamaludin, dia kemudiannya telah membawa masalah tersebut kepada pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon untuk diambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, Nicole ketika ditemui di lokasi memberitahu, hasil siasatan lanjut mendapati masalah tersebut berlaku ekoran isu air berpatah balik (backflow) dan tersumbat di kolam takungan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kenapa ada backflow?, kami kemudian mendapati terdapat kejadian tanah runtuh di kawasan milik pihak Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) yang terletak berhampiran dengan kolam takungan tersebut.
“Ada komitmen daripada pihak Plus untuk memperbaiki masalah tanah runtuh tersebut, jika ia menjadi punca sebenar masalah tersebut ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk disiapkan.
“Bagaimanapun masa tiga bulan itu terlalu lama jadi tindakan sementara perlu diambil, oleh itu longkang sementara akan dibuat dengan segera bagi mengalirkan air tersebut ke kawasan longkang besar yang lain bagi menyelesaikan masalah dialami penduduk ini,” katanya lagi.-UTUSAN.