50 premis rosak dibadai ribut di Kampung Melayu Majidee - Utusan Malaysia

50 premis rosak dibadai ribut di Kampung Melayu Majidee

SEORANG penduduk, Tijah Kassim melihat keadaan rumahnya yang rosak akibat dibadai ribut di Kampung Melayu Majidee Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 50 premis termasuk rumah rumah penduduk di Kampung Melayu Majidee di sini rosak dibadai ribut dan hujan lebat petang tadi.

Selain rumah, turut terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang ialah warung, kedai makan dan hentian bas di Jalan Rahmat, Jalan Setia, Jalan Afiat, Jalan Sehat, Jalan Merdeka dan Lorong Haji Omar Ahmad akibat dihempap pokok tumbang dan atap yang diterbangkan ribut.

Pengusaha Warung Mak Jah di Jalan Merdeka, Khatijah Mohd. Amin, 60, berkata, ketika kejadian dia sedang membaca surah Yassin apabila terdengar bunyi angin yang kuat sebanyak dua kali sebelum anaknya memanggilnya keluar untuk melihat kedai makan di sebelah rumahnya dihempap sebatang pokok besar.

“Hujan memang lebat dalam pukul 3.15 petang tadi dan tiba-tiba dengar bunyi deruan angin kuat sebanyak dua kali, anak panggil untuk keluar tengok keadaan kedai apabila keluar saya hanya mampu ucap astagfirullah dan alhamdulillah sahaja. Pokok besar tepi rumah ini tumbang dan menimpa separuh kedai dan sebahagian rumah tapi tak mengapa, ini ujian, alhamdulillah kami sekeluarga semua selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

PENDUDUK memotong pokok yang menghempap sebuah kenderaan akibat dibadai ribut di Kampung Melayu Majidee Johor Bahru.

Seorang ibu tunggal, Jamaliah Abdul Manaf, 43, pula meluahkan kesyukuran kerana ibunya, Tijah Kassim, 73, yang ketika kejadian berlaku sedang mengupas bawang di dapur selamat apabila bumbung dapur diterbangkan ribut.

“Semasa kejadian saya sedang duduk berehat. Emak sedang kopek bawang di dapur tiba-tiba hujan lebat dengan angin menderu dan bumbung terus tercabut, habis basah dapur dengan barang pecah dan hancur. Sebelum hujan saya lihat awan gelap dan terus tutup elektrik kerana dua tahun lepas pun jadi perkara sama,” katanya yang baru bulan lepas menjalani pembedahan pada bahagian perut.

Seorang lagi penduduk, Nur Shahida Hasbol 35 berkata, ketika kejadian dia dan enam ahli keluarganya berada di dalam rumah.

“Saya amat takut dan menjerit menyebut nama Allah berkali- kali dan memanggil nama ibu. Rumah saya macam terangkat sebaik angin kencang sehingga menerbangkan bumbung rumah dan bergegar,” katanya sambil memberitahu kejadian tersebut berlaku antara 15 hingga 20 minit.

Dalam pada itu, Ismail Abu, 48, di Lorong Intan berkata, ketika kejadian dia dan 12 penghuni termasuk lapan kanak-kanak yang dijaga berumur empat tahun berada di dalam rumah.

KERJA-KERJA memotong pokok yang menghempap sebuah rumah yang dibadai ribut di Kampung Melayu Majidee Johor Bahru.

“Sebaik saya dengar bunyi dentuman, hati saya rasa tidak sedap dan terus saya selamatkan dahulu kanak-kanak yang berada dengan saya. Kejadian berlaku amat pantas dan hanya berlaku kira-kira 15 minit tetapi memusnahkan banyak rumah,” katanya

Seorang warga emas, Nurfaizah Atiqah Ismaon 62, berkata dia yang tinggal bersendirian menangis apabila melihat ribut membadai rumahnya sehingga menerbangkan bumbung rumah.

“Saya terus sembunyi dalam rumah kerana terlalu takut apabila lihat angin kencang menghala ke arah rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN