20 tahun sengsara hidu bau busuk sampah

20 tahun sengsara hidu bau busuk sampah

MASYARAKAT Orang Asli berdepan masalah bau sampah di kawasan tapak pembuangan sampah berhampiran jalan masuk ke Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini mendakwa kehidupan mereka ‘sengsara’ apabila terpaksa menghidu bau busuk sampah sejak 20 tahun lalu dari kawasan tapak pelupusan yang terletak di tepi jalan masuk ke kawasan kediaman mereka.

Difahamkan, kesemua sampah yang dikutip oleh Majlis Daerah Dabong (MDD) itu datang dari Dabong untuk dilupuskan di kawasan berkenaan yang bersempadan dengan jajahan ini.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, sebelum ini dia membuat aduan sebanyak lima kali kepada pihak berwajib mengenai masalah berkenaan, namun, tiada penyelesaian dilakukan.

Menurutnya, pada masa sama penduduk turut berdepan masalah sampah yang diletakkan merata-rata tempat sehingga melimpah ke atas jalan oleh pihak pengendali perkhidmatan itu.

“Saya pun tak tahu macam mana pengendalian mengenai sampah tu. Kami dah tak tahan dan berharap pihak berwajib dapat selesaikan kerja mereka dengan rapi.

“Selain persekitaran kotor, kami juga berdepan masalah bau ketika lalu lalang di kawasan ini. Masalah ini menimbulkan rasa kurang senang bukan sahaja penduduk tetapi juga para guru yang masuk mengajar anak kami di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi,” katanya ketika ditemui semalam.

Harun memberitahu lagi, masalah longgokan sampah itu bukan sahaja berlaku selepas musim perayaan tetapi juga pada hari biasa.

Katanya, pada hujung bulan Februari lalu dia merakam sendiri gambar longgokan sampah yang hampir menutup jalan masuk ke kawasan Kampung Pasir Linggi.

Jamal Alias, 42, pula berkata, longgokan sampah di kawasan tepi jalan itu menyebabkan pencemaran bau dan udara apabila pembakaran sampah secara terbuka turut dilakukan di kawasan itu.

Katanya, kawasan sampah yang busuk itu telah menjadi tempat pembiakan lalat dan ulat yang boleh mendatangkan penyakit.

“Longgokan botol plastik, bekas dan sisa makanan telah menarik perhatian haiwan liar seperti anjing dan babi hutan.

“Kami yang menggunakan jalan berkenaan untuk membeli bahan makanan sepanjang hari dan situasi itu menimbulkan rasa tidak selesa,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin berkata, pihaknya menerima aduan terbaharu daripada penduduk Orang Asli berkenaan masalah sampah itu kelmarin.

“Memandangkan laluan masuk kiri kanan bahu jalan ke Kampung Pasir Linggi ditutupi oleh semak samun, saya akan mengeluarkan perbelanjaan untuk membersihkan laluan tersebut demi kemudahan dan keselamatan pengguna jalan.

“Kerja pembersihan jalan tersebut sepanjang sembilan kilometer dijangka mengambil masa tiga hari menggunakan jentolak yang akan dimulakan pada hari Khamis ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya