TUMPAT: Tindakan 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar yang sanggup berhimpit dalam sebuah van tidak berbaloi selepas dicekup oleh anggota unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di hadapan sebuah sekolah di Jalan Bunut Sarang Burung di sini semalam.
Penahanan van tersebut hasil maklumat risikan dan intipan yang dijalankan sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di lorong belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting di sini pada pukul 7.15 malam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa intipan dilakukan anggota PGA telah terserempak dengan sebuah van jenis Nissan Vanette yang dinaiki dua lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan menghala ke arah jalan Pak Keral.
Menurutnya, hasil bantuan anggota unit MPV IPD Tumpat van tersebut kemudian berjaya di tahan di hadapan sebuah sekolah dekat Jalan Bunut Sarang Burung.
“Sebaik sahaja van tersebut berhenti, dua lelaki tempatan telah bertindak keluar dan melarikan diri. Bagaimanapun, salah seorang daripada suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.
“Seorang lagi berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan. Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati 15 PATI warganegara Myanmar berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati 13 lelaki dan lima wanita itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini.
Katanya, kesemua PATI itu dipercayai masuk ke negara ini dari Thailand menggunakan laluan yang tidak sah.
“Kesemua PATI dan kenderaan dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26 A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1963,” ujarnya.-UTUSAN