11 lelaki leka berjudi sabung ayam diberkas

11 lelaki leka berjudi sabung ayam diberkas

LOKASI kegiatan sabung ayam yang diserbu pihak polis di Kampung Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan semalam.-UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seramai 11 lelaki dicekup ketika mereka sedang leka menyabung ayam dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Tok Bali di sini semalam.

Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 57 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.15 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebanyak 13 ekor ayam yang dipercayai digunakan semasa menjalankan kegiatan perjudian itu.

Menurutnya, anggota polis turut merampas wang tunai sebanyak RM6,806 yang dipercayai hasil daripada kegiatan terbabit.

“Selain itu, satu tong ais kuib yang mengandungi 10 botol cecair yang dipercayai air ketum turut dirampas di lokasi kejadian.

“Kesemua lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaizul Rizal berkata, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan perjudian dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya