KANGAR: Suasana di Kangar Jaya di sini berubah wajah dengan keindahan lebih 10,000 kuntum bunga tulip bercahaya yang menerangi kawasan berkenaan bersempena Festival Bunga Tulip Bercahaya yang berlangsung semalam sehingga 5 Jun ini.
Tarikan tersebut menyaksikan orang mengunjungi festival berkenaan yang turut menyajikan pelbagai lagi tarikan lain seperti terdapat kira-kira 100,000 lampu diod pemancar cahaya (LED) hiasan, bunga lampu bergerak, terowong lampu LED terpanjang, pokok LED Avatar, kereta elektrik berlampu, mini zoo dan pelbagai lagi.
Rata-rata pengunjung juga tidak melepaskan peluang merakamkan gambar suasana bercahaya yang cukup mempesona itu.
Seorang pengunjung, Norizham Norhishammuddin,25, berkata, dia tidak melepaskan peluang mengunjungi festival tersebut yang disifatkan pameran cahaya terbesar pernah diadakan di negeri ini.
Katanya, pemandangan di kawasan berkenaan cukup indah dengan ribuan bunga tulip bercahaya selain pelbagai lagi tarikan lain berkonsepkan cahaya yang sangat memukau.
Ujarnya, lokasi berkenaan yang luas juga sesuai diadakan festival seperti itu.
“Memang sangat menyeronokkan dapat menyaksikan pelbagai dekorasi hiasan lampu LED warna-warni yang menerangi kawasan festival berkenaan. Turut disajikan persembahan ‘fire show’ yang penuh dengan aksi yang cukup menarik.
“Ia menjadi lokasi menarik dan strategik untuk dikunjungi dan sesuai untuk seisi keluarga keluar bersantai melihat keindahan pameran cahaya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi pengunjung, Nur Anati Jamaludin, 25, pula berkata, festival berkenaan juga menjadi tumpuan penggemar-penggemar fotografi bagi merakamkan gambar.
Katanya, karnival bercahaya berkenaan menyajikan pemandangan cukup indah yang jarang-jarang diadakan di Perlis sebelum ini.
“Keindahannya memukau pengunjung dan saya rasa ini merupakan kali pertama acara cahaya besar-besaran diadakan di negeri ini.
“Saya pasti akan datang lagi bersama rakan-rakan atau keluarga pada cuti hujung minggu ini.
Kunjungan ke sini amat berbaloi kerana dapat melihat keindahan hiasan cahaya yang bukan sahaja kreatif malah memberi terapi kepada kita,” katanya.-UTUSAN