KUBANG PASU: “Makcik reda, walaupun tahu bila-bila masa saja Tuhan akan ‘jemput’ balik.”
Itu luahan Fadzilah Ahmad, 67, yang juga pesakit kanser paru-paru tahap empat.
Lebih menyedihkan, Fadzilah yang pernah menderita kanser ovari pada 2017 itu kini hanya sendirian menjalani kehidupan ditemani 10 ekor kucing kesayangannya di Kampung Tok Jalai, Jitra di sini.
Menurut warga emas ini, dia didiagnos menghidap kanser ovari pada 2017 sebelum menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi pada 2018.
“Tetapi tahun lalu, doktor beritahu kanser sudah merebak ke paru-paru pula dan saya reda sajalah. Sekarang bergantung kepada ubat-ubatan sahaja. Lepas bedah untuk kanser ovari dan buat kemoterapi dulu ingat akan sihat tetapi kena sakit lain pula,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Fadzilah yang tidak mempunyai anak memilih untuk hidup sendirian setelah kematian suami sejak 25 tahun lalu kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa termasuk adik-beradik lain.
“Makcik ada tujuh beradik tetapi tiga sudah meninggal dunia. Mereka pun bukan orang senang untuk makcik menumpang kerana masing-masing ada masalah keluarga dan kesihatan juga.
“Takkanlah makcik nak susahkan mereka dengan penyakit makcik ini. Biarlah makcik sendiri bertemankan kucing-kucing ini. Sampai masa Tuhan ‘jemput’ makcik pergi,” katanya dengan linangan air mata.
Tambahnya, walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap dengan hanya bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat berjumlah RM700 sebulan, namun ia cukup untuk menampung kehidupannya setiap hari.
“Dulu makcik buat macam-macam kerja termasuk jadi pengawal keselamatan tetapi bila sudah ada penyakit susahlah. Selepas bedah dulu makcik ambil upah semai benih padi tetapi sejak ada masalah di paru-paru ini tak boleh nak buat kerja sebab cepat penat.
“Ada rezeki juga dapat bantuan itu ini. Makan tak kisah sangat kadang kala tanak nasi dan goreng telur saja pun sudah cukup. Kadang kala ada yang baik hati derma makanan dan pakaian juga, Alhamdulillah,” katanya.
Bagi menghilangkan kesunyian itu, Fadzilah berkata, dia menghabiskan masa dengan beramal ibadah termasuk berzikir dan membaca al-Quran.
“Al-Quran ini memang menyembuh banyak penyakit, Insya-Allah, bila amalkan hati jadi tenang kerana kesakitan yang teruk itu datangnya dari hati. Nasihat makcik untuk sesiapa yang senasib jangan susah hati, tenang saja fikirkan semua yang kita tempuh ini adalah ujian Allah,” katanya.
Mereka yang ingin membantu warga emas itu boleh menyumbang ke akaun BSN miliknya, 02002 41 000051064 (Fadzilah Ahmad). -UTUSAN