JEMPOL: Seramai 10 orang ahli sebuah kumpulan kongsi gelap ditahan ketika mereka dalam persediaan untuk melakukan perbuatan jenayah pada 9 Mei yang lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 8 malam pada hari kejadian, pihaknya telah menerima makluman terdapat sekumpulan lelaki berkumpul di hadapan sebuah rumah di Bahau dipercayai hendak melakukan pergaduhan.
Jelas beliau, bertindak di atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah menahan kesemua lelaki terbabit yang masing-masing berusia di antara 19 sehingga 43 tahun.
“Pemeriksaan selanjutnya terhadap kumpulan yang ditahan telah menjumpai senjata parang, senjata tajam yang telah diubah suai dan lain-lain senjata yang disimpan serta disembunyikan berhampiran tempat kejadian.
“Pihak polis mempercayai kumpulan lelaki yang ditangkap ini membuat persediaan untuk melakukan pergaduhan dan melakukan jenayah di kawasan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Chang Hook, setelah membuat siasatan, kumpulan lelaki yang ditangkap tersebut dikesan merupakan ahli kumpulan kongsi gelap Geng 36.
“Pihak polis telah mengenal pasti dan membuat pengesahan terhadap kumpulan ini berdasarkan kepada tanda tatu di bahagian badan dan gambar simbol ‘36’ di dalam kesemua telefon suspek,” katanya.
Sehubungan itu jelas beliau, pihak polis telah membuka dua kertas siasatan iaitu di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Pihak polis telah menahan reman kesemua tangkapan selama empat hari bermula 10 Mei lalu sehingga esok dan boleh memohon untuk melanjutkan tempoh tahanan reman. Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan dalam masa terdekat,” katanya lagi.-UTUSAN.