YPNM anjur kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

YPNM anjur kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri

FIRDAUS Abdullah (lima dari kiri) bersama jabatan dan agensi yang terlibat dalam kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri di Plaza Tol Sungai Besi di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menganjurkan kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap keselamatan jalan raya terutama di musim perayaan.

Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, kempen tersebut penting memandangkan berlaku peningkatan jumlah pengguna jalan raya berbanding pada hari-hari biasa.

“Kempen ini penting bagi memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Dijangkakan, dua juta kenderaan akan berada di jalan raya pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini, jadi cukup penting untuk orang ramai supaya sedar tentang kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menerusi kempen yang diadakan di Plaza Tol Sungai Besi di Kuala Lumpur itu, sebanyak 2,500 beg mengandungi air minuman, buah kurma dan risalah-risalah panduan keselamatan jalan raya, kesedaran alam sekitar yang sihat dan risalah menu Rahmah diedarkan.

Kempen itu turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan beberapa jabatan dan agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Mohd. Firdaus berkata, peningkatan kemalangan jalan raya juga menjurus kepada kehilangan nyawa dan kehilangan harta benda.

“Apabila kemalangan berlaku, pihak insurans juga terpaksa mengeluarkan pampasan dan ganti rugi yang tinggi, peratusan pertambahan kemalangan akan memaksa syarikat insurans menaikkan kadar premium insurans untuk insurans kenderaan.

“YPNM berharap kesedaran keselamatan jalan raya amat penting untuk menjamin kesejahteraan pengguna-pengguna daripada segi sosio dan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya