YGMB salur manfaat RM25 juta bantu ribuan ahli - Utusan Malaysia

YGMB salur manfaat RM25 juta bantu ribuan ahli

WAN MUNADI WAN MAMAT (dua dari kiri) dan Aminuddin Adam (tengah) bergambar bersama tiga penerima manfaat YGMB dalam satu majlis di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyalurkan sebanyak RM25 juta kepada penerima di bawah pelbagai kategori manfaat skim keahlian kepada guru-guru di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sumbangan berkenaan diberikan yayasan tersebut sejak ditubuhkan pada 1994.

Menurutnya, peruntukan yang diterima ahli melibatkan lebih daripada 35 kategori termasuk khairat kematian, bencana, elaun hospital, hadiah kelahiran anak dan hadiah persaraan.

“Sejak ditubuhkan pada 1994, YGMB telah menyalurkan manfaat kepada ribuan ahli melibatkan pelbagai kategori dengan sumbangan disalurkan kira-kira RM25 juta.

“Manfaat yang disalurkan pula antara RM200 melibatkan pelbagai hadiah sehingga RM100,000 melibatkan keilatan kekal menyeluruh akibat kemalangan,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menghadiri Majlis Taklimat Keahlian dan Kebajikan Serta Penyampaian Manfaat Khairat Kematian Kepada Ahli YGMB Skim 18 di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Yusof Katmi.

Wan Munadi memberitahu, pihaknya menyasarkan keahlian seramai kira-kira 50 peratus daripada jumlah keseluruhan guru di seluruh negara.

“Pada waktu ini, jumlah keahlian berdaftar dengan yayasan ini seramai 130,000 orang, walaupun jumlah itu kelihatan ramai namun sebenarnya masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah guru di Malaysia.

“Oleh itu, kita menyasarkan untuk meningkatkan jumlah keahlian kepada kira-kira 50 peratus jumlah guru di negara ini. Untuk mencapai perkara itu, kita akan melakukan pelbagai program di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran guru-guru tentang manfaat menyertai YGMB,” katanya sambil memberitahu telah menyalurkan bantuan kepada lebih 200 ahli di Kelantan dan Terengganu yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Bagi ahli di negeri ini pula, YGMB sedang melakukan semakan akhir sebelum bantuan disampaikan dan berharap ahli-ahli yang terjejas supaya membuat laporan  kepada pihaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN