SEREMBAN: Yayasan Matrix Concepts memperuntukkan dana lebih RM300,000 pada tahun ini bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk bagi membantu golongan asnaf dan anak yatim.
Pengerusinya, Datuk Noordin Mohd. Yatib berkata, menerusi peruntukan itu, bantuan turut diberikan kepada pihak sekolah yang memerlukan bantuan bagi tujuan meningkatkan kemudahan di sekolah terbabit.
“Peruntukan sebanyak RM300,000 ini bagi memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan. Kami juga bersedia memberi bantuan sekiranya ada golongan yang memerlukan seperti kejadian kes kebakaran rumah yang berlaku.
“Selain kepada anak-anak yatim dan warga emas, kami juga pada tahun ini turut memberi bantuan kepada 10 buah sekolah di negeri ini yang agak daif termasuk daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
“Kami juga berharap orang ramai atau individu yang mengetahui ada kes yang berkaitan agar tampil memaklumkan kepada pihak kami agar bantuan dapat diberikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Yayasan Matrix Concepts di sini semalam.
Yang hadir sama, Penasihat Yayasan Matrix Concepts, Datin Seri Yong Chou Lian.
Noordin dalam pada itu berkata, program majlis berbuka puasa itu yang turut meraikan anak-anak yatim adalah kembali dapat diadakan selepas kali terakhir pada tahun 2019 akibat penularan wabak Covid-19.
“Pada tahun 2021 dan tahun lalu, kami menjalankan program dengan menghantar barangan keperluan ke rumah anak-anak yatim terlibat,” katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, seramai 100 orang anak-anak yatim dan penjaga mereka dari tiga buah rumah anak yatim iaitu Darul Asnaf Seri Sendayan, Darul Asnaf Seri Tanjung dan Yayasan Kasih Sayang NS Kuala Pilah telah diraikan.
Sebanyak RM3,000 turut disumbangkan kepada setiap rumah anak-anak yatim berkenaan.
Yayasan Matrix Concepts telah diperbadankan pada 3 Disember 2013 dalam usaha memberi CSR berkaitan pendidikan, sukan, komuniti, sosial dan persekitaran. –UTUSAN.