Wanita halang kereta di lampu isyarat, rupanya suami isteri bergaduh - Utusan Malaysia

Wanita halang kereta di lampu isyarat, rupanya suami isteri bergaduh

TANGKAP layar video tular menunjukkan seorang wanita cuba menahan sebuah kereta yang bergerak di persimpangan jalan lampu isyarat di Port Dickson.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang wanita yang videonya tular di media sosial menunjukkan dia menghalang sebuah kereta yang sedang bergerak di hadapan sebuah lampu Isyarat di Batu 1 di sini telah tampil membuat laporan polis petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, wanita warganegara Indonesia berusia 32 tahun itu merupakan suri rumah bersama suaminya juga warganegara Indonesia bekerja sebagai buruh bangunan, 58, hadir ke Balai Polis Port Dickson pada pukul 4.15 petang.

“Hasil temu bual oleh pihak polis mendapati kedua-dua mereka merupakan pasangan suami isteri yang tinggal di rumah beralamat di Port Dickson.

“Sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara mereka kerana suaminya hendak keluar dari rumah untuk pergi ke rumah anak mereka di Telok Kemang di sini, tetapi dihalang isteri kerana bimbang kesihatannya yang baharu mendapat rawatan di Hospital Port Dickson setelah enam hari umat Islam berpuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Mustafah berkata, tanpa menghiraukan isteri lelaki itu terus keluar dari rumah dan memandu kereta dari rumahnya ke Telok Kemang.

“Isterinya dengan bantuan jiran telah membonceng motosikal jiran dan dapat mengesan suami di lampu isyarat Batu 1, Pantai Port Dickson di sini. Dia telah bertindak menghalang kenderaan Proton Wira dipandu suami bagi meneruskan perjalanan,” katanya.

Jelas Muhamad Mustafah, suami isteri itu telah mengakui kesilapan mereka dan hadir ke balai polis setelah mengetahui kes berkenaan tular di media sosial serta bagi memberi penjelasan sebenar berhubung kejadian tersebut.

“Pasangan itu juga memohon maaf atas perbuatan yang diakui membahayakan diri sendiri dan orang awam lain,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 33 saat di akaun Twitter @bckupacc99 telah tular di media sosial menunjukkan seorang wanita cuba menghalang sebuah kereta Proton Wira yang sedang bergerak di persimpangan lampu isyarat tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya