KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengumumkan 11 kepakaran berteraskan teknologi sebagai mekanisme menyelesaikan permasalahan industri dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, antara kepakaran tersebut adalah berdasarkan kluster Bandar Pintar, Pertanian dan Keselamatan Makanan, Nadir Bumi, Teknologi Pengangkutan, Kelestarian Tenaga. dan Sains Bahan.
“Selain itu, ia juga berdasarkan Kluster Bioteknologi Perindustrian, Pengurusan dan Sains Sosial, Petrokimia dan Pembinaan,” katanya.
Yuserrie berkata, pengenalan 11 kepakaran itu juga adalah bersempena genapnya sambutan ulang tahun ke-21 UMP pada 16 Februari lalu sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan universiti.
“Justeru itu, sebagai panduan dan rujukan umum yang boleh dimanfaatkan masyarakat di negara ini, UMP sudah melancarkan Buku UMP’s Cluster of Knowledge dan UMP Sustainable Campus Blueprint 2022-2025 baru-baru ini,” katanya.
Yuserrie dalam pada itu berkata, UMP berjaya melahirkan seramai 38,462 alumni yang menyumbang semula tenaga dan kepakaran mereka kepada masyarakat serta pembangunan negara.
“Kebolehpasaran graduan UMP pula mencatat peningkatan kepada 98.67 peratus bagi 2022.
“UMP justeru itu akan terus mengekalkan kecemerlangan lima bintang dalam penarafan MyMohes untuk tahun kelapan berturut-turut dengan pencapaian markah penuh 100 peratus merujuk penilaian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengumpul data daripada semua universiti awam berkaitan staf, penyelidikan dan pembangunan, pelajar dan maklumat institusi.
“Bersempena Ramadan ini juga, pihak Yayasan UMP menyasarkan sumbangan sebanyak RM240,000 bagi penyediaan juadah buat mahasiswa seramai 2,000 orang di kedua-dua kampus Pekan dan Gambang,” katanya. – UTUSAN