MACHANG: UMNO sedang berusaha mendapatkan tarikh untuk menghadap Agong bagi mempersembahkan rayuan pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO yakin akan memperoleh tarikh tersebut dalam tempoh terdekat.
“Sebagai sebuah parti politik, tentunya kami (UMNO) mengikuti semua prosedur perundangan yang sedia ada.
“Apabila prosedur itu diikuti sepenuhnya, maka diakhirnya ialah Lembaga Pengampunan dan UMNO prihatin terhadap bekas pemimpin,” katanya selepas diminta mengulas mengenai rayuan pengampunan terhadap bekas Presiden UMNO di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, usaha itu bukan bersifat desakan politik sebaliknya lebih kepada rayuan.
Katanya, rayuan itu bukan sahaja dari Majlis Tertinggi (MT) namun melibatkan seluruh ketua-ketua bahagian, ketua pemuda, wanita dan puteri di seluruh negara.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, lebih 3,000 sudah membuat rayuan bagi membolehkan Lembaga Pengampunan membuat pertimbangan.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, MT UMNO memohon Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Naji sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MT juga sebulat suara bersetuju untuk memohon mengadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda beserta dengan memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.
Katanya, pihaknya telah menerima memorandum daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap-sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri yang memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden dan Perdana Menteri itu yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara.-UTUSAN