PETALING JAYA: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di seluruh negara perlahan ekoran penambahan kenderaan bermula pada pukul 2 petang.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebok memaklumkan, Lebuh Raya Utara Selatan, trafik perlahan dari arah utara di Sungai Buloh ke Bukit Beruntung dan Slim River ke Sungkai.
“Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah ke Gua Tempurung, Ipoh (U) ke R&R Sungai Perak, Bandar Baharu ke Bukit Tambun dan Permatang Pauh ke Bertam juga dipenuhi orang ramai.
“Trafik turut perlahan di Layby Tikam Batu ke Sungai Petani (U) dan Gurun ke Pendang manakala arah Selatan kesesakan dikesan di Kepala Batas ke Alor Setar (U).
“Laluan ke Alor Setar (S) ke Pendang, Juru Auto City ke Plaza Tol Juru, Bukit Tambun ke Bandar Cassia dan Hentian Sebelah Rawang ke Rawang (S) turut mengalami penambahan kenderaan,” tulis kenyataan LLM.
Di Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE), trafik sesak menuju ke Plaza Tol Gombak arah timur (Kuala Lumpur- Karak).
Dalam pada itu di Lebuh Raya Utara Selatan trafik perlahan dari arah Utara di Senai ke Sedenak, Simpang Renggam ke Machap terus ke Ayer Hitam dan Hentian Yong Peng (U) ke Pagoh. – UTUSAN