KOTA BHARU: Kelantan United melakukan tindakan drastik dengan merehatkan Tomas Trucha sebagai pengendali pasukan berkenaan.
Tindakan merehatkan pengendali kelahiran Republik Chez itu dipercayai berpunca daripada aksi ‘lemau’ yang diperagakan oleh skuad Sang Kijang Hijau ketika ini.
Ketua Pegawai Operasi Kelantan United Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, tugas mengendalikan pasukan ketika ini akan digalas oleh penolong jurulatih Nazrulerwan Makmor dan Tengku Hazman Raja Hassan.
Menurutnya, tempoh rehat Trucha sehingga tamat aksi Liga Super dalam bulan Ramadan.
“Pada masa yang sama, pihak pengurusan sedang meneliti untuk penstrukturan semula kelab ke arah lebih baik selepas ini.
“Saya tidak menolak kemungkinan Trucha akan diberikan peranan selaku Pengarah Teknikal KUFC selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Zul Ikman memberitahu, secara jujurnya dia kecewa dengan keputusan yang dilakar oleh Kelantan United setakat ini apabila sekadar meraih satu mata dalam enam perlawanan.
Katanya, dia menuntut barisan pemain supaya bangkit untuk aksi selepas ini dalam usaha memperbaiki kedudukan di carta Liga Super.
“Begitu juga dengan tonggak import, kita harap mereka dapat memberikan aksi lebih baik berbanding pemain tempatan,” ujarnya.
Selepas mengharungi enam perlawan, Kelantan United sekadar meraih satu mata sekaligus menduduki tangga tercorot Liga Super.
Trucha senasib dengan Choi Moon-sik selepas direhatkan dari Kelantan FC.
Situasi itu menjadikan, Trucha merupakan jurulatih kedua dalam saingan Liga Super yang menerima nasib sama setakat ini.-UTUSAN