KOTA BHARU: “Jika Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) hadir sekalipun, beliau tidak boleh mengemukakan pertanyaan semasa sesi soal jawab bersama Perdana Menteri (PMQ) di sidang Parlimen,” itu jawapan yang diberikan oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas diminta mengulas ketidakhadiran tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) semasa sesi tersebut semalam.
Tuan Ibrahim berkata, ketidakhadiran Abdul Hadi Awang (Pas), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu) serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak perlu diperbesarkan.
Menurutnya, blok pembangkang mempunyai lebih 70 Ahli Parlimen yang boleh menyertai perbahasan semasa sesi PMQ.
“Padahal kalau mahu dikira sebenarnya ketidakhadiran wakil-wakil kerajaan lagi dahsyat. Mereka penuh hanya ketika Perdana Menteri ada sahaja. Kalau tidak kosong dan kadang-kadang cuma ada tiga orang.
“Cuma kita malas nak ‘ambush’ dengan usul tergempar yang memerlukan kiraan dan sebagainya. Kita mahu sesi Parlimen berjalan lancar dan kita mahu menjadi pembangkang berwibawa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Raja Perfume Malaysia yang turut disaksikan pemiliknya oleh Wan Mohd. Raimiey Syazerin di Kampung Lepar Limbat, di sini semalam.
Ahli Parlimen itu memberitahu, berkemungkinan berlaku salah faham dalam kalangan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan berkenaan perjalanan PMQ.
“Kadang-kadang mereka silap faham. PMQ ini bukan semua Ahli Parlimen boleh tanya. Soalan disediakan secara bertulis oleh seorang individu dan selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jawab, orang sama boleh ajukan soalan tambahan dan bukannya orang lain.
“Soalan kedua pula dari Ahli Parlimen kerajaan. Bukan kita masuk dewan dan terus tanya Perdana Menteri. Tak betul tu. Prosedur dalam Parlimen bukan macam itu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memaklumkan aspek kesihatan Abdul Hadi berada dalam keadaan baik dan beliau ke Institut Jantung Negara (IJN) sekadar untuk menjalani pemeriksaan berkala biasa.
“Baru-baru ini beliau ada memaklumkan merasa sedikit sakit pada bahagian perut dan pergi buat pemeriksaan. Bagaimanapun keadaan kesihatannya telah dipastikan berada dalam keadaan baik,” ujarnya.-UTUSAN