Tiga maut dalam nahas dua buah kenderaan - Utusan Malaysia

Tiga maut dalam nahas dua buah kenderaan

LOKASI kejadian kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 26 Jalan Bahau–Kemayan, Jempol, petang tadi.-GAMBAR/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Tiga individu maut dalam kejadian kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 26 Jalan Bahau–Kemayan dekat sini kira-kira pukul 1.57 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki tiga sekeluarga beralamat di Kemayan, Pahang dan sebuah kereta Honda CRV yang turut dinaiki tiga sekeluarga beralamat di Jengka, Pahang.

Jelas beliau, mangsa yang meninggal dunia merupakan pemandu Perodua Myvi dikenali sebagai Tee Tai En, 29 dan ibunya, Tin Siew Kwan, 59 yang merupakan penumpang hadapan kenderaan tersebut.

“Kedua-duanya maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala. Penumpang belakang yang juga bapa kepada pemandu, Tee Tuam Huat, 65, pula hanya mengalami luka di bahagian tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ditempat kejadian pula dikenali sebagai Sallehuddin Nong, 63, yang merupakan penumpang belakang kereta Honda CRV.

Jelasnya, anak mangsa yang berusia 34 tahun yang merupakan pemandu kenderaan tersebut dan isteri mangsa berumur 55 tahun pula mengalami kecederaan di bahagian muka dan dada.

“Siasatan awal mendapati kemalangan di percayai berlaku ketika kereta Perodua Myvi sedang bergerak dari arah Bandar Seri Jempol menghala ke Sungai Lui manakala kereta Honda CRV sebaliknya.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai kereta Perodua Myvi telah hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta Honda CRV sebelum bertembung dengan kenderaan itu di bahagian hadapan yang sedang bergerak terus.

“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu Perodua Myvi dan penumpang hadapan kereta itu serta penumpang belakang Honda CRV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” tambahnya.

Jelas Chang Hook, kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, anak bongsu Sallehuddin, Meor Muhammad Fahmi, 24, berkata, ketika kejadian, bapa,  ibu, serta kakak sulungnya itu dalam perjalanan pulang ke Felda Jengka 19, Pahang selepas menghantar rombongan merisik serta bertunang saudara lelaki di Tampin.

Jelasnya, keluarganya itu pulang awal dari ahli rombongan yang lain kerana kakaknya perlu pulang ke Kuala Lumpur.

“Sewaktu kejadian saya sedang bekerja di Seremban dan kemudian kakak memaklumkan dalam kumpulan WhatsApp keluarga yang mereka terbabit kemalangan dan ayah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Saya segera ke tempat kejadian namun ketika dalam perjalanan kakak memaklumkan ayah sudah meninggal dunia. Saya harap agar saksi kejadian terutamanya yang mempunyai rakaman kamera dashboard dapat tampil ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan,” katanya lagi.UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya