KOTA BHARU: Tiga Bahagian UMNO di negeri ini iaitu Jeli, Kuala Krai dan Tumpat akan menjalani pemilihan semula kepimpinan di kawasan tersebut.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Akhbar Salim berkata, pemilihan semula itu susulan bantahan yang dikemukakan ketiga-tiga bahagian tersebut sebelum ini diterima oleh kepimpinan peringkat pusat.
“Pemilihan UMNO Bahagian Jeli dan Kuala Krai akan berlangsung pada 8 April ini manakala Tumpat berkemungkinan besar 15 April nanti.
“Untuk makluman, kedudukan nombor dan senarai calon masih sama sebagaimana pemilihan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar memberitahu, UMNO negeri berharap pemilihan semula di ketiga-tiga bahagian itu akan berjalan lancar dalam suasana penuh kekeluargaan.
Katanya, pemilihan ini bertujuan merupakan sebahagian amalan demokrasi dalam UMNO.
“Saya harap berilah mandat kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan peringkat bahagian dengan sebaik mungkin.
“Pemimpin mana yang menang, teruskan bekerja bagi memastikan UMNO kembali bangkit di bumi Kelantan ini,” ujarnya.-UTUSAN