Tempatkan lebih ramai anggota polis lancarkan aliran trafik di Gua Musang

Tempatkan lebih ramai anggota polis lancarkan aliran trafik di Gua Musang

MUHAMAD Zaki Harun (kanan) menyampaikan bubur lambuk kepada salah seorang anggotanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan semalam-UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan akan menempatkan lebih ramai anggota bagi melancarkan aliran trafik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri susulan penutupan laluan untuk kerja-kerja pemasangan cerucuk projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di Gua Musang.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penempatan anggota tersebut akan dilakukan bermula hari ini selepas pihaknya menjangkakan kesesakan akan berlaku di laluan tersebut susulan kepulangan perantau.

“Selain itu, saya sudah mengarahkan semua pegawai dan anggota seluruh daerah di negeri ini supaya menempatkan anggota masing-masing di lokasi yang sering berlaku kemalangan termasuk di Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Kota Bharu.

“Kita turut mendapatkan kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi melancarkan aliran trafik,” katanya kepada pemberita  selepas Majlis Iftar dan Kongsi Rezeki Ramadan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.

Muhamad Zaki memberitahu, lebih 500 termasuk 254 pegawai dan anggota trafik akan bertugas menjelang sambutan Aidilfitri bagi memastikan kelancaran pergerakan perantau yang akan pulang beraya di negeri ini.

Katanya, rondaan secara berkala  turut dijalankan bagi memastikan tidak berlaku kesesakan sepanjang musim perayaan.

“Polis Kelantan akan turut menempatkan anggota jenayah di lokasi yang sering berlaku jenayah bagi memastikan keselamatan pengguna berada pada tahap terbaik.

“Kita akan memastikan keselamatan harta benda dan premis kediaman lebih selamat sekali gus mengurangkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya