Tempahan, permintaan tinggi penggunaan dewan di Seremban - Utusan Malaysia

Tempahan, permintaan tinggi penggunaan dewan di Seremban

DEWAN Komuniti Coral Heights yang terletak di Sikamat, Seremban dan dibina menerusi peruntukan sebanyak RM4 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Permintaan bagi penggunaan dewan-dewan komuniti bagi tujuan penganjuran pelbagai aktiviti masyarakat dan majlis adalah tinggi dalam kalangan penduduk di daerah ini.

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, permintaan tinggi tersebut boleh dilihat berdasarkan tempahan yang dibuat di setiap dewan berkenaan.

“Permintaan memang tinggi untuk menggunakan dewan-dewan sedia ada, setakat ini tempahan sentiasa penuh malahan boleh saya katakan untuk tempoh enam bulan mendatang tempahan juga penuh.

“Sebab itu kami mengalu-alukan pembinaan dewan-dewan baharu kerana permintaan terlampau tinggi. Selain itu juga kami juga seboleh mungkin mahu menggalakkan penggunaan dewan dalam kalangan penduduk dan bukannya di kawasan perumahan mereka untuk apa-apa penganjuran majlis seperti kenduri kendara.

“Ia bagi mengelakkan berlakunya kacau ganggu dan perbalahan antara jiran. Sebenarnya buat majlis dan acara di dewan-dewan komuniti adalah lebih selesa malah lebih menjimatkan kos berbanding mereka sewa di dewan-dewan lain milik persendirian dan swasta,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Penyerahan Dewan Komuniti Coral Heights, Sikamat di sini hari ini.

AMINUDDIN Harun menyerahkan replika kunci kepada Masri (kanan) pada Majlis Penyerahan Dewan Komuniti Coral Heights, Sikamat di Seremban hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tambah Masri lagi, pihaknya memang menerima banyak permohonan daripada ADUN dan penduduk berkenaan keperluan untuk pembinaan dewan-dewan baharu namun ia akan mengambil kira pelbagai faktor seperti mengenal pasti tanah yang sesuai dan peruntukan.

“Kalau kawasan yang padat, kami perlu kenal pasti tanah yang sesuai dan berkenaan peruntukan kami akan cuba minta sama ada dari kerajaan negeri ataupun agensi-agensi kerajaan Pusat. Setakat ini MBS memang tiada peruntukan khas untuk tujuan pembinaan dewan baharu,” jelasnya lagi.

Menteri Besar dalam pada itu berkata, pembinaan Dewan Komuniti Coral Heights merupakan salah satu usaha melengkapkan kemudahan di taman perumahan berkenaan.

“Saya berharap dewan berkenaan dapat digunakan dengan sebaiknya untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang membawa manfaat kepada semua penduduk.Saya juga meminta penduduk menjaga fasiliti kemudahan yang disediakan sebaik mungkin supaya ia dapat dimanfaatkan dalam jangka masa yang lama,” katanya.

Dewan Komuniti Coral Heights dibina melalui peruntukan daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM4 juta. 

Berkeluasan 1,845 meter persegi dan berkapasiti 800 orang, dewan berkenaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pentas, bilik mesyuarat, pejabat, bilik persalinan, empat gelanggang badminton dan sebuah gelanggang futsal.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya