BENTONG: Polis daerah ini sedang memburu suspek yang melakukan perbuatan khianat membaling batu ke arah kenderaan di laluan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lebu ke Mempaga di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan perbuatan jahat tersebut.
“Kita juga menyiasat kejadian ini apabila tular gambar dan video melalui laman sesawang Facebook, ‘Kami Penduduk Bentong Official’ pada Selasa (semalam).
“Kita sedang memburu suspek yang melakukan perbuatan khianat ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Zaiham, pihak polis juga bekerjasama dengan penduduk setempat di Felda Mempaga dan penduduk Kampung RTP Lebu melakukan pemantauan dan rondaan untuk mengesan suspek.
“Kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut, hubungi dengan segera Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong menerusi talian 092222222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
Sementara itu, pemilik Facebook, Nur Cahaya Jaafar menulis, perbuatan jahat tersebut semakin menjadi-jadi dan mengganas terutama di laluan RTP Lebu ke Mempaga.
“Malam tadi di laluan sekolah ke RTP Lebu dan Mempaga masih terdapat banyak batu berserakan termasuk di Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), saya percaya perbuatan ini bukan (dilakukan) seorang,” katanya.
Hantaran menerusi Facebook Nur Cahaya Jaafar mendakwa cermin keretanya pecah serta menyebabkannya trauma hendak keluar serta meminta pengguna di lalun itu supaya berhati-hati.
Seorang lagi pemilik akaun Facebook bernama May May menerusi hantarannya berkata, siapa punya kerja, hampir setiap malam ada sahaja kereta kena baling batu dari Jalan RTP-Mempaga. – UTUSAN